Festival Idea Putrajaya (FIP) merupakan satu inisiatif penting dalam usaha merakyatkan idea dan pendidikan tinggi secara besar-besaran serta mempromosi Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi di peringkat serantau dan global melalui pendekatan the whole of government. Festival ini antara lain, bertujuan untuk menghimpunkan pemimpin pemikir, pakar, pembuat dasar, ahli akademik, industri dan masyarakat umum dalam satu platform berprestij bagi membincang dan berkongsi idea-idea inovatif serta penyelesaian terhadap cabaran-cabaran semasa yang dihadapi negara dan dunia.
Festival ini juga dianjurkan untuk mengembalikan kegemilangan budaya ilmu dan melahirkan masyarakat yang menghargai ilmu. Dalam masa yang sama, semua idea dan penyelidikan dibawa dan dikumpulkan dalam satu platform untuk dikongsikan kejayaan negara dengan masyarakat dunia dan merangka masa depan negara melalui "The Malaysian Success Story" dan mengangkat Putrajaya sebagai "City of Ideas". Platform ini turut berperanan dalam mengetengahkan keakrifan lokal dan kebijaksanaan tempatan yang turut menyumbang dalam usaha membina masyarakat MADANI yang maju dan bertamadun berasaskan ilmu pengetahuan, tradisi dan khazanah.